WAKAF AMANAH RAKYAT (WARak)

Yayasan Pelajaran MARA

MARA Adakan “RoadShow” Pendidikan Dan Program Jelajah Luar Bandar Buka Peluang Lanjutkan Pelajaran

SHAH ALAM, 19 Mei 2023 – Berikutan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diumumkan tidak lama lagi, pihak MARA mengambil inisiatif untuk menyalurkan maklumat dan menawarkan peluang pendidikan lanjutan kepada pelajar di semua peringkat. Program bersifat jelajah sehingga ke peringkat akar umbi ini mensasarkan pelajar lepasan SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lanjutan atau ingin mempelbagaikan bidang kemahiran.

Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi berkata, usaha bersifat outreach ini bukan sekadar untuk memberi pendedahan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sahaja, tetapi turut menawarkan peluang untuk semua pelajar tanpa mengira tahap pencapaian akademik mereka. Pihak MARA akan mencadangkan peluang pendidikan yang bersesuaian dengan ,minat mereka.

“MARA mempunyai pelbagai peluang pendidikan dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian sama ada bagi pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam negara sehinggalah ke peringkat luar negara, atau untuk mereka yang berminat menceburi bidang kemahiran (TVET),” ujarnya.

MARA akan melaksanakan dua program di seluruh negara bermula hujung Mei ini hinggalah penghujung tahun. Program pertama adalah Karnival Pendidikan IPMA yang akan diadakan di 12 lokasi di beberapa negeri. Manakala program kedua adalah Jelajah Pendidikan Luar Bandar yang akan diadakan di daerah-daerah.

Bagi negeri Selangor ini, program Jelajah Pendidikan Luar Bandar akan diadakan di tujuh buah daerah luar bandar bermula dengan Daerah Sabak Bernam yang akan diadakan di Plaza Sungai Besar pada 27 Mei ini. Negeri-negeri lain juga akan turut mengadakan program yang sama dengan sasaran utama adalah daerah-daerah luar bandar demi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat informasi pendidikan dan boleh mendapatkan maklumat daripada pegawai-pegawai MARA secara langsung.

MARA juga turut mengambil inisiatif untuk mengadakan konsultasi kerjaya bagi mengenalpasti minat dan kecenderungan pelajar. Melalui ujian e-potensi dan seterusnya sesi konsultasi bersama kaunselor bertauliah, pelajar akan dapat mengenalpasti minat dan bidang pengajian yang bersesuaian dengan kebolehan, bakat dan kecenderungan mereka.

Pada tahun ini, MARA menawarkan 9,300 tempat pengajian di bidang lanjutan meliputi 3,300 tempat dalam bidang profesional dan 6,000 tempat dalam bidang TVET. Manakala, sebanyak 20,000 peluang penajaan baharu (pinjaman pelajaran) akan ditawarkan di bawah pelbagai bidang mengikut peringkat pengajian. Peluang pendidikan ini disediakan di 287 buah Institusi Pendidikan MARA di seluruh negeri dengan 269 adalah dalam bidang TVET.