Pengertian Wakaf dari segi Bahasa bermaksud Berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع) manakala dari segi Istilah/Syara’ pula “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S. W.T”
Terdapat tiga (3) sekatan utama wakaf iaitu tidak boleh ditarik balik/dibatalkan (irrevocability), tidak boleh dipindah milik (inalienability) dan berkekalan (perpetuity).
Di Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf sebagaimana yang termaktub dalam Akta, Ordinan atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dan Enakmen Wakaf Negeri-negeri.
Segala urusan pengurusan dan pentadbiran wakaf adalah di bawah tanggungjawab MAIN. Entiti selain MAIN boleh terlibat dalam sebarang aktiviti dan pengurusan wakaf setelah beroleh kebenaran bertulis daripada MAIN berkaitan. Tanpa kebenaran MAIN, entiti wakaf persendirian adalah tidak sah.
Justeru, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah dilantik sebagai Mutawalli iaitu Pengurus Harta Wakaf oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 27 Disember 2022 menggunakan struktur YPM sedia ada.