a) AL-QURAN
Surah Al-Baqarah, ayat 261:
Bermaksud:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
Surah Ali ‘Imran, ayat 92:
Bermaksud:
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan suatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
b) HADITH NABAWIYAH
Dari Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya”
Hadith Riwayat Muslim
Hadith dari Ibnu Umar r.a.
Hadith dari Ibnu Umar r.a. dia berkata: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Nabi S.A.W untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud:
“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah Azzawajalla) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?”
Maka sabda Rasulullah s.a.w kepadanya yang bermaksud:
“Jika engkau hendak tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.”
Maka Umar pun sedekahkan manfaatnya dengan syarat tanah (maukuf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (beri) dan tidak diwariskan (dipusakai). Tanah itu diwakafkan ke atas fakir miskin, kaum kerabat, memerdekakan hamba sahaya, sabilillah, ibnissabil dan tetamu. Dan tidak ada halangan bagi orang yang menguruskan (yang diberi kuasa menjaganya yakni Nazir) untuk mengambil upah sebahagian darinya dengan cara yang wajar dan mengambil upahnya tanpa menganggap bahawa tanah itu miliknya sendiri.
c) IJMA’
Imam Al-Qurthuby berkata: Sesungguhnya permasalahan wakaf adalah ijma’ (sudah disepakati) di antara para sahabat Nabi; yang demikian kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Aisyah, Fathimah, Amr ibn Al-Ash, Ibnu Zubair, dan Jabir, seluruhnya mengamalkan syariat wakaf, dan wakaf-wakaf mereka, baik di Makkah mahupun di Madinah, sudah dikenal masyhur oleh khalayak ramai. (Rujuk: Tafsir Al-Qurthuby: 6/339, Al-Mustadrah 4/200).
Jabir berkata: Tiada seorang pun dari sahabat Nabi yang memiliki kemampuan dan kelapangan rezeki, kecuali pasti pernah mewakafkannya. (Rujuk: Al-Mughni 8/185, Al-Zarkasyi 4/269).
Imam Tirmidzi menyatakan: Wakaf telah diamalkan oleh para ulama, baik dari kalangan sahabat Nabi mahupun yang lainnya, saya tidak melihat ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mutaqaddimin tentang bolehnya wakaf, baik wakaf tanah mahupun wakaf yang lain. (Rujuk: Sunan Tirmidzi 5/13 setelah hadits no. 1375).