Produk Wakaf yang akan ditawar dan diuruskan oleh YPM adalah terdiri daripada:
Harta Alih
Harta Alih adalah seperti wang tunai, unit amanah, dan saham.
Bagi tujuan permulaan pelaksanaan WARak ini, sumber dana tunai adalah merupakan sumber utama wakaf.
Sumber dana ini tidak mempunyai sempadan dan tidak tertakluk kepada kutipan dan pemerolehan dana di Wilayah Persekutuan dan boleh diterima dalam pelbagai bentuk dan medium dengan persetujuan pewakaf.
Segala urusan promosi dan kempen berkaitan dengan mutawalli yang dilaksanakan secara fizikal bagi mendapatkan dana di luar Wilayah Persekutuan perlulah dibuat secara harmoni dengan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama negeri yang berkenaan.
Harta Tidak Alih
Harta Tidak Alih adalah harta seperti rumah, hartanah, bangunan, rumah kedai dan apa- apa harta tidak alih lain yang akan diserahkan oleh waqif.
Peletakhakan mana-mana Harta Tidak Alih yang terletak di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang ingin diwakafkan oleh Pewaqif akan didaftarkan sebagai harta wakaf di bawah nama MAIWP menurut Seksyen 62 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505.
Pengurusan harta tidak alih tersebut boleh diuruskan dan dilaksanakan oleh YPM, tertakluk kepada perjanjian pengurusan harta wakaf yang akan dipersetujui oleh YPM dan MAIWP berdasarkan kes yang tertentu (per case basis).
Tanpa membataskan serta menjejaskan fungsi YPM dan niat Pewaqif, status pendaftaran mana-mana harta tidak alih yang diwakafkan yang terletak di luar bidang kuasa Wilayah-Wilayah Persekutuan akan tertakluk kepada undang-undang pentadbiran Agama Islam Negeri yang berkaitan dan perjanjian yang akan dipersetujui.
Harta Intelek
Harta Intelek adalah seperti hak cipta terpelihara, Rekabentuk Industri, Tanda dagang, Paten, Petunjuk geografi (GI), Reka bentuk susun atur litar bersepadu.
Kepakaran
Kepakaran adalah seperti kemahiran IT, kemahiran kontraktor/ arkitek, dan apa-apa kepakaran atau kemahiran.